Friday 29 May 2015 0 comments

mencari konklusi

suatu saat di mana seseorang akan merasa pedihnya kehilangan, barangkali yang tersayang atau objek yang amat diperlukan pada ketika itu, dan hasil keadaan sebegitu dia mungkin (dalam tidak sedar), terlupa akan qada' dan qadar

aku juga pernah kehilangan, hilang bukan berupa material tapi rasa yang sangat diperlukan dalam situasi sekarang; rasa kemanisan dalam melakukan kebaikan, baik beribadah atau beramal jariah, aku sangat yakin bahawa setiap hamba yang bernyawa pasti merasai suatu rasa yang begitu indah apabila melakukan kebaikan ditambah dengan rasa keikhlasan, tanpa dipaksa

suatu ketika berada di alam persekolahan dahulu, aku lebih seronok mengikuti proses pembelajaran di luar kelas (self-learning) berbanding akademik di dalam bilik, dan dari situ aku belajar berdasarkan pengalaman tak kira sama ada aku mengalami sendiri atau melalui pengalaman orang sekeliling

aku diajar untuk mendekatkan diri pada Allah melalui aktiviti usrah dan tazkirah setiap kali selepas solat, sangat menghidupkan dan pada usia sementah itu, aku didedahkan dengan sunnah-sunnah yang sepatutnya aku sudah amalkannya pada usia aku sekarang, aku beruntung

tapi, aku tak menghargai peluang yang ada suatu ketika dulu, malah dengan beratnya dosa tertanggung sekarang ini menghalang aku dari merasai kemanisan beribadah, sebab itulah aku katakan yang aku kehilangan, pada aku ia satu kehilangan yang besar sebagaimana yang aku pernah memiliki suatu ketika dulu, aku ingin memilikinya kembali

aku juga merasakan setiap daripada kita patut merasai rasa kehilangan (sedih) bukan sahaja apabila hilang sesuatu yang zahir, tapi setelah hilang rasa manis dalam berbuat sesuatu kebaikan, itu juga perlu

0220
Monday 11 May 2015 0 comments

Bilah Bersarung Merah

"Mak, adik lapar"
Tangan masih galak mengasah
Mata melekat pada kikir 
Fikiran jauh mengenang nasib
"Moga esok panas terik, tak basah macam kelmarin"

Merunduk tubuh di celah pohon
Hanya berteduh dedaun nan kering
Peluh merenik disuluh cahaya terik
Tubuh kerdilnya perlu tenaga
Tangan dan kaki berderap ganti
Jalan selusur satu persatu

Dari mentari tinggi segalah
Hingga terik datang menjengah
Tak pula mengeluh juga mengalah
Untuk tersayang di rumah dia gagah
Padahal usianya sudah mengah

"Ayah, abang nak duit makan"
Kusut si ayah mencari jalan
Baru semalam kirimkan wang
Untuk kakak teruskan pelajaran
"Mana lagi aku nak pinjam?"

Urat di lengan jelas terlihat
Luka-lukamu belum terbebat
Lenguh bahumu memikul kudrat
Putih ubanmu bertambah lebat

Suatu petang,
Anak menjamah tangan si emak
Kasar
Timbul urat menjalar
Raut tuanya terpancar

Malamnya pula,
Ayah duduk bersandar
Rehatkan tubuh biar segar
Untuk anak ayah tetap tegar
Kerna waktu masih berputar

Hari ini mak dan ayah
Tersenyum bangga melihat anaknya
Masing-masing berjaya belaka
Biar dahulu jenuh bersabung harta
Memerah keringat di ladang sana

"Mak, abang nak mak ngan ayah berhenti menoreh"
"Mana boleh nak, nanti mak ngan ayah nak makan apa"
"Mak, kami semuakan dah kerja, bagi la kami pulak tolong mak"
"Mak kuat lagi, jangan risau"

Air mata menuruni pipi
Tiap kali disuruh berhenti
Emak pasti menolak lagi
Katanya mampu jaga diri
Kini aku mengerti 
Bukan kerna usia orang berbudi
Tapi bila berbudi biar sampai mati
Saturday 9 May 2015 0 comments

Pelat

Kalau dulu aku mengenal
Saat usia masih nakal
Quran lusuh atas rehal
Bersama teman duduk menghafal

Jerih keringat imam mengajar
Apa terkhilaf aku belajar
Biasalah kapal baru hendak belayar
Laut yang luas masih menghampar

Detak masa deras berlari
Apa terhafal tak terikuti
Ia pergi mungkin tak kembali
Menjengah benak buat sekian kali

Aku tercela dengan obsesi 
Sesudah lupa akan Ilahi
Keruan hati tak terbendung lagi
Kerap mata ini menangisi

Sejauh mana aku melangkah
Segagah mana aku menongkah
Bernafas harus dalam perintah
Kerna jasad ini pulang ke tanah

Rabak mataku mencari ayat
Kelu lidahku seakan pelat
Sayu ku baca tersekat-sekat
Gemersik dalam malam pekat

Pulangkan aku pada-Mu ya Tuhan
Dakapkan aku dengan iman
Biar terungkai lafaz simpulan 
Moga pelatku kembali terubat


Thursday 7 May 2015 0 comments

Rumah

Rumah

Dulu setia menjadi tiang
Berkayu akal budi dan jujur
Berpintu hormat, jendela akrab

Berseri sungguh rumah kita
Tiap hari indah-indah belaka
Suka dan duka silih berganti
Ada memori yang lekat di hati

Masa pantas berlalu
Kita sibuk urusan peribadi
Tiada ruang bertukar cerita

Kau mula tunjukkan diri
Tanpa selindung gelapnya sisi
Kau renggut tali percaya
Mencari sejati dalam sahabat
Kau bicara kata dusta
Cuma alasan penyedap sengketa
Kau sisih pinta dibantu
Katamu kita tidak sebulu

Sedang aku tahu kau mula berpaling
Bersama sahabat yang kau kata sejati
Padahal aku tahu dirimu diperjudi
Kerna sejati bukan pada nilaian

Dan kini kurasa
Rumah kita sunyi
Sunyi dari tawa mesra
Sepi dengan cerita
Hanya cengkerik teman berlagu 

Rumah kita sunyi

0816






 
;