Wednesday 7 October 2015

Hikayat 22

Sepanjang menjadi seorang insan di dunia ini, betapa banyak nikmat telah aku kecapi.

Satu pun antara yang banyak itu, aku sering lupa untuk berterima kasih pada Yang Memberi, Maha Pengurnia.

Hari ini, genap dua puluh dua tahun aku bernafas, entah signifikan apa aku pun tak tahu akan tujuan tulisan aku ini. Mungkin hanya kerana angka, atau arah pemikiran yang semakin ke hadapan atau sekadar mengikut nada bicara hati yang sering berkecamuk.

"Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi". Tapi kebisaannya istilah tumpah tak pernah terjadi untuk memperihalkan kuah itu, sebenarnya kuah itu sengaja dibubuh sebelum dimakan suatu hidangan. Begitu juga dengan cara didikan ayah bonda yang diterapkan pada zuriat mereka. Terpulang pada mereka berdua, bagaimana selera mereka; terlebih gula maka manislah kuah itu, terlebih garam maka masinlah kuah itu. Ayah bonda yang sebenarnya akan membentuk peribadi anak-anak dan manhaj yang diterapkan sewaktu kecil itulah, yang akan anak-anak ikuti sampailah dewasa. Kuah takkan diistilah sebagai tumpah jika ke nasi, tetapi tumpah di atas meja, atau di lantai lantaran kecuaian seseorang.

Itu sebagai analogi.

Perubahan yang berlaku dalam usia kita ada fasa-fasa tertentu. Tanpa kita sedari, segala pengalaman yang diperoleh itu juga yang akan mematangkan kita tak kiralah dari aspek apa sekalipun, pemikiran, tindakan, kepercayaan atau membuat keputusan. 

Begitu juga aku.

Ketika usia baru menjengah enam tahun, aku sudah didedahkan dengan pendidikan berteraskan agama. Terima kasih ibu, ayah. Pasti As-Solihin, sekolah pertama aku. Berbeza dengan adik-beradik yang lain, adapun mereka disekolahkan di tabika ataupun terus ke darjah satu. Usia sementah itu, belum mengerti apa-apa. Tak tahu harapan ibu ayah. Tahu bermain dan berlari.

Berteraskan situasi ini, aku menggambarkan betapa pentingnya hala tuju anak-anak yang menjadi 'kuih' hasil 'acuan' ayah dan bonda.

Bersekolah di sekolah kebangsaan menjadi lumrah kepada orang kampung. Ada juga yang bersekolah di sekolah agama, menurut kemahuan ibu bapa masing-masing.
Pada aku, belajar di mana-mana sekalipun, natijahnya tetap sama. Semuanya bermula dengan sikap. Sekolah Kebangsaan Gondang, prestasi aku digilap di sini. Terima kasih cikgu.

Berbekalkan pencapaian yang cemerlang aku diterima masuk di salah sebuah sekolah berasrama penuh.

Sebelumnya, aku telah menduduki beberapa ujian kelayakan ke sekolah agama. SMKA Falahiah dan Maahad Muhammadi. Ayah dan ibu sebenarnya yang sangat mahukan aku untuk mendapat pendidikan agama sepenuhnya. Aku nampak wajah harapan mereka pada ketika itu. Tapi, usia aku yang mentah belum mampu untuk berfikir panjang. Akhirnya, aku mendaftar di SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra. Aku gembira. Tambah teruja.

Hakikat sebenar, aku telah mengecewakan hasrat ibu dah ayah. 

Masa berlalu begitu pantas. Pendidikan akademik sangat dititikberatkan bagi menjaga imej sekolah. Kampus itu antara sekolah terbaik dalam negara, jadi tak hairanlah para pendidik dibarisi mereka yang berkaliber. Namun, pendidikan agama yang aku peroleh secara formal dan tak formal turut membentuk keperibadian aku yang sekarang. Pengaruh tak sihat juga tidak kurang memberi impak negatif terhadap aku. Setiap hari ada pengalaman berbeza yang aku dapat, sebab itu aku sangat ingin membuat nukilan terhadap segala kisah sepanjang berada dalam arus pendidikan, mendaki setangga ke setangga. Bagi aku, setiap momen yang tersingkap di alam pendidikan adalah sesuatu yang amat berharga, tak kira di dalam ataupun di luar bilik darjah. Bahkan, jika nak dibukukan setiap momen itu, pastinya tak mampu.

Sudah menjadi kemestian bagi setiap pelajar untuk meraih kejayaan dalam pelajaran, namun harus diingat kita hanya perancang, ataupun berusaha tapi Dia jugalah sebaik-baik perancang dan penentu. Dia tahu apa yang baik dan buruk yang kita kadang-kadang sendiri pun tak tahu.

Apa yang aku lihat, ramai antara kita (pelajar-pelajar) sangat mementingkan pencapaian semata-mata kerna pada awal lagi kita disogok dengan momokan yang menakutkan tentang natijah daripada tidak berjaya mendapat gred yang terbaik. Begitu juga aku. Yang mana pada akhirnya aku terkadang kecewa, bahkan menyalahkan takdir. Rupanya aku tersalah tafsiran. 

"Ilmu bukan pada pointer"

Sangat sinonim kepada mereka yang bergelar mahasiswa/wi. Definisi ilmu tersangatlah luas dan tak termampu pun untuk diterokai oleh manusia. Kita lihat kejayaaan seseorang itu dalam disiplin ilmu yang dikuasai, pun hanyalah sekelumit dari keseluruhan ilmu. Jadi tak hairanlah jika seorang graduan belum berkemahiran selepas bergraduasi walaupun mendapat pointer yang cemerlang. Ini bermakna mereka belum menguasai ilmu yang dipelajari.

Kehidupan kita semakin hari semakin mencabar, dan apabila kita semakin berilmu, maka semakin banyak perkara yang kita tak tahu. Memetik kata-kata Imam al-Ghazali; "bila kamu tak mampu menahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan"

Aku mula melihat melalui pandangan akal, mencari alasan mengapa aku meneruskan juga pelajaranku. Apa yang aku kejar sebenarnya? Sampailah suatu saat, aku rasa ada empty space yang aku rasa tak ada suatu pun yang dapat mengisi ruang itu selain dari kembali refleksi diri, cari apa 'benda' itu. Dan aku terkejut benda itu sebenarnya dah lama aku ada, tapi aku kehilangan. 

Hilang dari diri aku. Jujur aku katakan, semakin lama aku hidup, semakin aku lupa matlamat hidup aku. Semakin banyak aku belajar, semakin banyak yang aku tak tahu. Malah semakin ramai aku punya kenalan, semakin aku sendirian. Semakin aku kejar dunia, semakin aku jauh dengan akhirat. Kitaran hidup yang menakutkan bagi yang sedar, dan menyeronokkan bagi yang lalai. Kenapa?

Ternyata aku temukan jawapan itu. Kita jauh dari Tuhan. 

Masa tidak pernah menunggu kita, bahkan kitalah yang kena kejar masa. Sekali, terperangkap dengan masa, maka komitmen kena ada dalam setiap pergerakan. Dan usia bukanlah penanda tarikh kematian. 

Aku teruskan juga hidup ini sehingga ke garisan masa terakhir. 

0 comments:

Post a Comment

 
;